Entri ini merupakan sambungan bagi entri sebelumnya yang bertajuk Umrah dan Ziarah: Madinah. Setelah empat hari berada di bumi Madinah, kami pun berangkat ke Mekah bagi mengerjakan ibadah umrah. Sebelum bertolak, jemaah dikehendaki untuk mandi sunat ihram di hotel. Kemudian, kami berniat ihram dan menunaikan solat sunat ihram di miqat Bir Ali. Setelah berniat ihram, kami perlu menjaga 13 pantang larang semasa di dalam ihram. Kami menaiki bas dari Madinah menuju ke Mekah dan perjalanan tersebut mengambil masa kira-kira enam jam. Dalam perjalanan tersebut, kami telah dibawa berhenti di sebuah perhentian ala ala r n r gitu untuk makan malam. Juadah yang disediakan ialah Nasi Arab bersama ayam dan ikan. Sedap hingga menjilat jari !
Kami selamat tiba di tanah haram Mekah pada jam 11 malam. Kami dibawa check in di sebuah hotel berdekatan dengan masjidil haram. Selepas menunaikan solat fardu isyak, kami diarahkan untuk berkumpul di lobby hotel bagi melaksanakan umrah bersama.
Terharu dan sebak sangat bila tengok Baitullah (kaabah) depan-depan mata. Setelah selesai tawaf dan saie, saya pun bertahallul. Ini bermakna saya tidak lagi terikat dengan 13 pantang larang ihram.
Saya berada di Mekah selama tujuh hari. Saya juga sempat melakukan umrah sunat dan umrah badal beberapa kali sewaktu di Mekah. Umrah sunat boleh dilakukan secara berulang kali. Umrah badal pula adalah apabila kita berniat untuk melaksanakan umrah bagi si fulan yang sudah meninggal dunia. Selain itu, amalan yang sangat baik sewaktu berada di sana termasuklah tawaf sunat.
Apabila sudah sampai di Masjidil haram, rugi sangat kalau kita melepaskan peluang untuk berdoa di hadapan multazam. Multazam adalah kawasan di antara pintu kaabah dan hajarul aswad. Ia merupakan tempat mustajab berdoa. Selain itu, saya juga sempat melakukan solat sunat di dalam hijir ismail. Namun, saya masih belum berkesempatan untuk mencium hajarul aswad.
Kami juga dibawa menziarahi Jabal Rahmah iaitu tempat pertemuan Adam dan Hawa, Jabal Thur iaitu tempat persembunyian Rasulullah dan Abu Bakar dari musyrikin Mekah sewaktu dalam perjalanan hendak berhijrah ke Madinah, serta Gua Hira' iaitu tempat Rasulullah menerima wahyu pertama. Kami juga dibawa menziarahi Muzdalifah, Padang Arafah dan Mina.
Semoga semua umat Islam akan dijemput menjadi tetamu Allah di rumahNya.
Baitullah |
Jabal Rahmah |
di hadapan Masjidil Haram |
Hilton hotel |
0 comments:
Post a Comment