AIZA SURAYA Welcome to my blog!

Wednesday, 15 March 2017

Umrah dan Ziarah: Mekah

Assalamualaikum ya ukhti ya akhi.

Entri ini merupakan sambungan bagi entri sebelumnya yang bertajuk Umrah dan Ziarah: Madinah. Setelah empat hari berada di bumi Madinah, kami pun berangkat ke Mekah bagi mengerjakan ibadah umrah. Sebelum bertolak, jemaah dikehendaki untuk mandi sunat ihram di hotel. Kemudian, kami berniat ihram dan menunaikan solat sunat ihram di miqat Bir Ali. Setelah berniat ihram, kami perlu menjaga 13 pantang larang semasa di dalam ihram. Kami menaiki bas dari Madinah menuju ke Mekah dan perjalanan tersebut mengambil masa kira-kira enam jam. Dalam perjalanan tersebut, kami telah dibawa berhenti di sebuah perhentian ala ala r n r gitu untuk makan malam. Juadah yang disediakan ialah Nasi Arab bersama ayam dan ikan. Sedap hingga menjilat jari !

Kami selamat tiba di tanah haram Mekah pada jam 11 malam. Kami dibawa check in di sebuah hotel berdekatan dengan masjidil haram. Selepas menunaikan solat fardu isyak, kami diarahkan untuk berkumpul di lobby hotel bagi melaksanakan umrah bersama.

Terharu dan sebak sangat bila tengok Baitullah (kaabah) depan-depan mata. Setelah selesai tawaf dan saie, saya pun bertahallul. Ini bermakna saya tidak lagi terikat dengan 13 pantang larang ihram.

Saya berada di Mekah selama tujuh hari. Saya juga sempat melakukan umrah sunat dan umrah badal beberapa kali sewaktu di Mekah. Umrah sunat boleh dilakukan secara berulang kali. Umrah badal pula adalah apabila kita berniat untuk melaksanakan umrah bagi si fulan yang sudah meninggal dunia. Selain itu, amalan yang sangat baik sewaktu berada di sana termasuklah tawaf sunat.

Apabila sudah sampai di Masjidil haram, rugi sangat kalau kita melepaskan peluang untuk berdoa di hadapan multazam. Multazam adalah kawasan di antara pintu kaabah dan hajarul aswad. Ia merupakan tempat mustajab berdoa. Selain itu, saya juga sempat melakukan solat sunat di dalam hijir ismail. Namun, saya masih belum berkesempatan untuk mencium hajarul aswad.

Kami juga dibawa menziarahi Jabal Rahmah iaitu tempat pertemuan Adam dan Hawa, Jabal Thur iaitu tempat persembunyian Rasulullah dan Abu Bakar dari musyrikin Mekah sewaktu dalam perjalanan hendak berhijrah ke Madinah, serta Gua Hira' iaitu tempat Rasulullah menerima wahyu pertama. Kami juga dibawa menziarahi Muzdalifah, Padang Arafah dan Mina.

Semoga semua umat Islam akan dijemput menjadi tetamu Allah di rumahNya.



Baitullah

Jabal Rahmah

di hadapan Masjidil Haram
Image may contain: 2 people, outdoor
Hilton hotel



Umrah dan Ziarah: Madinah

Assalamualaikum ya ukhti ya akhi.

Entri kali ini saya nak berkongsi pengalaman saya dan ibu bapa saya sewaktu berada di Madinah. Kami selamat tiba di Madinah pada waktu maghrib setelah lapan jam perjalanan menaiki pesawat Saudia dari KLIA. Alhamdulillah ini merupakan kali kedua saya menjejakkan kaki di bumi Madinah yang penuh barakah. Setelah selesai urusan imegresen, kami pun menaiki bas yang disediakan oleh Andalusia Travel & Tours menuju ke hotel yang terletak sangat berdekatan dengan pintu 15 Masjid Nabawi. Apabila melihat sahaja bangunan Masjid Nabawi yang bercahaya pada waktu malam, saya berasa sangat teruja untuk menunaikan solat jemaah di masjid tersebut. Kami tidak sempat untuk solat berjemaah di masjid tersebut pada waktu isyak kerana perlu menyelesaikan urusan untuk check-in hotel dan sebagainya. Kami tinggal di Madinah selama empat hari.

Seawal jam 4.30 pagi kami sudah bersiap sedia untuk ke masjid dan menunggu azan Subuh. Telekungku berterbangan ditiup angin. Madinah sangat sejuk pada waktu malam dan pagi. Ruangan solat di Masjid Nabawi dipisahkan antara wanita dan lelaki (of course) dan kawalan keselamatan di bahagian wanita agak ketat di mana pengawal keselamatan wanita akan memeriksa beg kita sebelum dibenarkan masuk. Saya berpeluang untuk solat di bahagian bawah kubah yang akan terbuka / tertutup sewaktu azan dilaungkan seperti yang dipertontonkan di TV3 sewaktu azan maghrib dilaungkan. Tenang sungguh bumi Madinah!

Kemudian setelah bersarapan, jemaah wanita Andalusia berkumpul untuk memasuki Raudhah bersama-sama dan diketuai oleh seorang ustazah. Raudhah hanya dibuka untuk wanita pada waktu-waktu tertentu iaitu selepas Subuh sehingga jam 11 pagi, selepas zohor dan selepas isyak. Alhamdulillah saya berpeluang untuk masuk ke Raudhah sebanyak tiga kali. Raudhah sangat padat dengan lautan manusia terutamanya pada waktu malam. Ia amat memerlukan kesabaran yang tinggi sewaktu menunggu giliran untuk masuk ke Raudhah.

Raudhah tu apa?

Raudhah bermaksud taman syurga. Sabda Rasulullah SAW, "Antara rumahku dan mimbarku adalah Raudhah di antara taman-taman syurga". Raudhah merupakan antara tempat yang paling mustajab untuk berdoa. Ustazah kata sesiapa yang solat sunat dan berdoa dalam Raudhah, insyaALLAH pasti dimakbulkan, cuma cepat atau lambat, sama ada di dunia atau di akhirat. Raudhah terletak di dalam Masjid Nabawi. Ruangan solat di Masjid Nabawi beralaskan karpet merah namun, hanya di bahagian Raudhah sahaja berkarpet hijau.

Saya juga berkesempatan untuk menziarahi Makam para syuhada peperangan Uhud di kaki Bukit Uhud yang terletak di Madinah. Sewaktu banjir besar melanda Madinah pada Oktober 2013, jasad 70 para syuhada yang telah dimakamkan selama lebih 1400 dulu telah tertimbus dan kesan darah pada tubuh para syuhada tersebut masih jelas kelihatan. Kemudian, jenazah-jenazah tersebut dimakamkan semula dan hanya dua jasad sahaja dapat dikenal pasti iaitu Saidina Hamzah RA dan Abdullah bin Jaz RA kerana ciri-ciri luka yang diceritakan dalam Sirah. Saidina Hamzah ciri lukanya didada dan Abdullah bin Jaz kerana telinga dan hidungnya terpotong kerana diikat benang.

Saya juga ada melawat masjid Quba' yang juga terletak di bumi Madinah. Sabda Rasulullah saw, "Orang yang mengambil wudu' dari rumahnya, dan mendirikan solat di masjid Quba', ganjaran sama dengan umrah" (hadis riwayat Tarmizi).


Makam Rasulullah saw

pekarangan masjid Nabawi

Image may contain: 2 people, sky, outdoor and nature
pekarangan kaki bukit uhud

Image may contain: 1 person, standing, sky and outdoor
Masjid Quba'